Rangsang & Asah Bakat Seni & Muzik Anak-Anak

Aktiviti seni dan muzik adalah asas dalam kurikulum pendidikan awal di taska dan tadika hari ini.

Sumbangan dan kepentingannya dalam pengajaran dan pembelajaran awal tidak dapat dinafikan lagi, malah aktiviti seni dan muzik menjadi ukuran kepada kualiti sesebuah program di prasekolah.

Seni dan muzik kini tidak lagi menjadi satu subjek tambahan sebaliknya merupakan keperluan dalam pendidikan awal kanak-kanak.

Maksud sebenar seni

Seni membawa maksud sesuatu yang halus. Seni terbahagi kepada seni visual dan seni persembahan.

Seni visual untuk kanak-kanak meliputi aktiviti melukis dan mewarna, aktiviti kraf yang mengaplikasikan teknik menggambar, teknik mereka corak dan rekaan serta teknik bentuk binaan.

Seni persembahan untuk kanak-kanak pula meliputi aktiviti muzik, pantun, sajak, drama, tarian dan pergerakan kreatif.

Mengapa ia penting dalam kehidupan kanak-kanak?

Seni meningkatkan imaginasi dan kreativiti kanak-kanak. Kanak-kanak meluahkan perasaan masing-masing menerusi hasil karya seni mereka.

Seni untuk kanak-kanak dapat meningkatkan imaginasi dan kreativiti kanak-kanak serta menimbulkan rasa kecantikan yang berkaitan dengan estetika dalam seni. Seni juga memberikan pengalaman estetika kanak-kanak.

Aktiviti-aktiviti seni visual, seperti lukisan dan kraf mudah serta aktiviti-aktiviti seni persembahan seperti muzik, tarian, pergerakan kreatif dan drama yang dilaksanakan oleh guru dapat membantu kanak-kanak menimba pengalaman estetika.

Penglibatan kanak-kanak yang aktif dalam proses aktiviti seni visual dan juga seni persembahan dapat memberi pengalaman mendengar, mengeksploitasi visual dan memanipulasi bahan seni kepada kanak-kanak.

Pendidikan seni yang berkesan

Mengikut teori Susanne K. Langer, seni visual bentuk merujuk kepada kejelasan, struktur dan kesatuan manakala dalam muzik bentuk merujuk kepada simfoni.

Beliau menyarankan pengkarya seni perlu mengaplikasi teknik yang pelbagai dalam karya masing-masing. Tujuh konsep dalam karya seni iaitu bentuk, abstrak, ekspresi, perasaan, lambang, ilusi dan imej.

Konsep bentuk, lambang, abstrak, ekspresi, perasaan berkaitan dengan takrif seni manakala konsep ilusi dan imej lebih kepada fungsi dalam sesebuah karya.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran dalam pendidikan seni kanak-kanak berdasarkan pendekatan konstruktivis amat sesuai digunakan.

Pendekatan konstruktivis

Pendekatan konstruktivis membimbing kanak-kanak belajar secara mudah berdasarkan pengalaman mereka.

Pendekatan ini boleh diaplikasikan dengan menggunakan empat cara untuk mendidik kanak-kanak.

Menekankan kelainan dengan melatih kanak-kanak membezakan maklumat yang diterima.

Menyusun maklumat supaya lebih mudah diterima oleh kanak-kanak.

Menyampaikan maklumat secara berkesan dalam pengajaran.

Memberi pujian atau ganjaran dan nasihat serta galakan kepada kanak-kanak berjaya atau gagal melakukan sesuatu.

Terdapat tiga prinsip dalam pendekatan konstruktivis.

Pertama, pengajaran perlu berdasarkan kesediaan dan pengalaman kanak-kanak serta mengikut konteks kesanggupan kanak-kanak untuk belajar.

Kedua, mengorganisasi pengajaran supaya mengikut struktur atau urutan yang mampu difahami oleh kanak-kanak dengan mudah. Ketiga, pengajaran perlu melangkaui maklumat yang dibekalkan oleh guru dirangka untuk memudah cara penghasilan ilmu.

Muzik

Kanak-kanak perlu dibimbing menyanyi lagu dengan iringan muzik, menyanyi lagu mengikut tempo dan menyanyi lagu mengikut perasaan dan ekspresi.

Kanak-kanak peka terhadap pic dan irama serta sensitif terhadap bunyi-bunyi di persekitaran. Mereka akan memberi reaksi terhadap apa yang mereka dengar. Muzik menekankan kemahiran pendengaran.

Kepentingan Muzik kepada kanak-kanak

1. Mempertingkatkan kemahiran muzikal dan kreativiti kanak-kanak

Muzik, lagu dan nyanyian dapat mempertingkatkan kemahiran muzikal dan juga kreativiti kanak-kanak dengan cara menyanyikan melodi mudah, menyanyi lagu dengan iringan muzik dan menyanyi mengikut tempo.

2. Muzik, lagu dan nyanyian meningkatkan kreativiti kanak-kanak

Aktiviti muzik, lagu dan nyanyian yang dilaksanakan untuk kanak-kanak memberi fokus kepada sifat kreatif dan ekspresif.

Setiap aktiviti muzik, lagu dan nyanyian kanak-kanak memerlukan kanak-kanak berimaginasi dan berfikir secara kreatif dalam membuat pergerakan dan menyampaikan mengikut suasana.

3. Membina Keyakinan Diri dan Sosial Kanak-kanak

Kanak-kanak yang didedahkan dengan aktiviti persembahan dan muzikal membantu mereka membina keyakinan berada di hadapan umum dan juga membina hubungan sosial dengan rakan sebaya.

4. Pengalaman muzik bayi dan kanak-kanak

Todd dan Heffernan (1997) membahagikan pengalaman muzik bayi dan kanak-kanak mengikut peringkat seperti berikut:

Jenis-jenis lagu dan nyanyian kanak-kanak

Antara jenis-jenis lagu dan nyanyian kanak-kanak yang dipraktikkan di prasekolah ialah permainan jari, lagu permainan, lagu beraksi, lagu rakyat dan lagu nasihat.

Permainan jari – Fokus pada pergerakan jari dan diiringi dengan nyanyian. Lagu yang sesuai untuk permainan jari adalah seperti lagu Labah-labah dan Apa Khabar Jari.

Lagu permainan – Kanak-kanak suka bermain sambil menyanyi lagu. Mereka lebih mengingati lagu dengan melakukan aksi. Contoh lagu permainan kanak-kanak adalah seperti Enjit-enjit Semut dan Nenek Si Bongkok Tiga.

Lagu beraksi – Lagu yang diikuti dengan pergerakan atau aksi mengikut lirik lagu yang dinyanyikan. Contoh lagu beraksi adalah seperti lagu Tanya Sama Pokok dan Pak Mamat.

Lagu rakyat – Wujud dalam masyarakat dari sejak awal lagi. Kadangkala lagu-lagu ini tidak diketahui pencipta dan sumbernya. Contoh lagu rakyat adalah seperti Lagu Anak Itik Tok Wee dan Anak

Lagu nasihat – Mempunyai unsur-unsur peringatan dan pedoman yang boleh dijadikan panduan hidup kanak-kanak. Contoh lagu nasihat adalah seperti lagu Bangun Pagi dan Rajin Adik Rajin.

———-

Dipetik dari: https://babytalkmalaysia.com/biar-bakat-seni-dan-muzik-anak-dirangsang-dan-diasah/

Comments

0 Comments Write a comment

Leave a comment